129 kanak-kanak berkeperluan khas belajar Tadika SeDidik

KUCHING: Tadika SeDidik melalui dasar terbuka baharu mempunyai seramai 129 kanak-kanak berkeperluan khas,setakat Oktober lalu.

Seramai 31 kanak-kanak itu mempunyai kad Orang Kelainan Upaya (OKU) dan 98 lagi masih dalam proses pendaftaran.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, ini setelah Institusi Pendidikan Awal Kanak-Kanak (IPAKK) SeDidik yang dikawal selia pihaknya melaksanakan dasar terbuka baharu yang menerima kemasukan kanak-kanak berkeperluan khas.

“Sebelum ini, SeDidik tidak mengambil kanak-kanak berkeperluan khas kerana tiada pendidik terlatih dan kekurangan prasarana yang sesuai,” katanya di Majlis Konvokenyen SeDidik Zon Kuching Kali Ke-32 di sini, hari ini.

Fatimah yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah SeDidik berkata, sejajar dengan polisi baharu ini, pihaknya telah mengenalpasti rakan strategik iaitu Pusat Genius Kurnia, OSEIC Sarawak dan Persekutuan Orang Pekak Malaysia.

Katanya, ini dalam merangka kurikulum latihan pendidik dan pengasuh agar mereka mempunyai pengetahuan dan kemahiran bersesuaian untuk membantu kanak-kanak berkeperluan khas ini.

Di samping itu, beliau juga mendedahkan sebanyak 152 orang atau 93.25 peratus pendidik di keseluruhan 106 IPAKK SeDidik di negeri ini memiliki sekurangnya Diploma Pengasuhan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak setakat Oktober lalu.

Katanya, ini melalui kerjasama pihaknya dengan Open University Malaysia (OUM), Institut Pendidikan Guru (IPG), SIDMA College dan PPKS untuk menghantar kohort bagi Program Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak.