Kes buli: Jawatankuasa khas ditubuh, setiap agensi bincang SOP

LUNDU: Kerajaan tidak akan berkompromi dalam isu buli dan kini meneliti langkah lebih bersepadu melalui penubuhan jawatankuasa khas melibatkan pelbagai kementerian serta agensi berkaitan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dato Sri Nancy Shukri berkata, jawatankuasa itu dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dengan penglibatan kementeriannya dan beberapa kementerian lain.

“Mesyuarat pertama telah diadakan dan setiap kementerian diminta berkongsi prosedur operasi standard (SOP) masing-masing bagi mewujudkan garis panduan yang lebih jelas dalam menangani kes buli,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menutup Program Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia Peringkat Sarawak di Pusat Latihan Kenegaraan Sampadi, di sini, hari ini.

Nancy menegaskan isu buli tidak boleh ditangani satu pihak sahaja kerana ia membabitkan keluarga, sekolah, masyarakat dan kerajaan.

“Kalau kita hanya harapkan sekolah atau kerajaan, tidak akan cukup. Masyarakat juga perlu memainkan peranan,” ujarnya.

Beliau turut menolak dakwaan kononnya pihak sekolah cuba menyembunyikan kes buli demi menjaga nama baik institusi, sebaliknya percaya sekolah mahu membantu mencari penyelesaian.