Premier Sarawak ketuai delegasi ke Berlin, Paris

BERLIN: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengetuai delegasi kerja ke Berlin, Jerman dan Paris, Perancis mulai 7 hingga 9 September ini.

Beliau bersama rombongan Kerajaan Sarawak selamat tiba di hotel penginapan pada jam 6.40 petang Ahad waktu tempatan.

Mengiringi beliau ialah Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi, Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy dan Petros) Dato Ibrahim Baki, Setiausaha Tetap Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sarawak, Datu Abang Ahmad Abang Morni dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SEB Datuk Sharbini Suhaili.

Pada Isnin, Premier Sarawak bersama delegasi akan mengadakan lawatan kerja ke Ibu Pejabat Siemens Energy di Huttenstraße, Berlin.

Lawatan dimulakan dengan pertemuan bersama Naib Presiden Eksekutif bagi Global Functions, Juha Pankakoshi sebelum dibawa melawat ke beberapa fasiliti utama Siemens Energy iaitu, Kilang Elektrolyseur, Kilang Gasturbine dan Pusat Inovasi.

Manakala pada 9 September, Premier Sarawak akan menghadiri International Forum Pumped Storage Hydropower bertemakan “Pump it up! Powering a Decarbonised World” di UNESCO House, Paris.

Beliau akan menyampaikan ucaptama yang menegaskan aspirasi Sarawak sebagai peneraju tenaga hijau serta pengeluar hidrogen untuk pasaran global.

Premier Sarawak turut dijadual mengadakan mesyuarat dua hala dengan Menteri Perindustrian dan Tenaga Perancis, Marc Ferracci dan Presiden International Hydropower Association (IHA), Malcolm Turnbull.

Pada sebelah petang, Premier Sarawak akan mengadakan lawatan kerja di Ibu Pejabat Électricité de France (EDF) di Avenue de Wagram, Paris sebelum berangkat pulang ke tanah air.

Lawatan kerja rasmi ini membuktikan komitmen Sarawak untuk membina rangkaian strategik antarabangsa dalam mencapai agenda pembangunan tenaga hijau di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 dan Sarawak Sustainability Blueprint 2030 sekali gus mengukuhkan kedudukan Sarawak sebagai hab tenaga bersih serantau dan global.-UKAS