KUALA LUMPUR: Kerajaan Sarawak komited memastikan kaum Bumiputera mencapai kemajuan serta mampu memberi sumbangan kepada pembangunan Sarawak dan negara.
Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, berkata ini dengan Kerajaan Sarawak menubuhkan Jawatankuasa Khas Majlis Ekonomi Bumiputera Sarawak.
Katanya jawatankuasa ini berperanan menyelaras serta memantau perancangan dan pelaksanaan pelbagai inisiatif pembangunan Bumiputera di negeri itu yang perlu pendekatan berbeza.
“Pendekatan berbeza perlu diambil kira bagi memenuhi keperluan unik, selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada di Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) Bil. 1/2024 di sini, hari ini.
Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. Ia turut dihadiri pegawai kanan kementerian, tokoh korporat serta ahli akademik.
