Mobiliti hijau pacu aspirasi Sarawak capai status negeri maju 2030

KUCHING: Sarawak kini memberi tumpuan terhadap inovasi dan mobiliti hijau melalui pelaksanaan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030) dalam usaha mencapai sasaran karbon sifar.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, usaha ini sekali gus membuka peluang baharu untuk menjadikan Sarawak negeri maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030.

“Di seluruh dunia, negara sedang mencari cara untuk menyahkarbonkan ekonomi mereka. Pengangkutan, sebagai salah satu penyumbang terbesar kepada pelepasan gas rumah hijau, berada di barisan hadapan dalam transformasi ini.

“Sarawak, sebagai sebuah negeri yang bertanggungjawab dan ahli masyarakat global, mengiktiraf sepenuhnya cabaran ini.

“Tetapi yang lebih penting, kami melihatnya sebagai peluang untuk melonjak ke arah ekonomi hijau, digital dan dipacu inovasi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn semasa merasmikan Sidang Kemuncak Inovasi Mobiliti Hijau di sini, hari ini.

Abang Johari menegaskan, lima tonggak utama menjadi asas pembangunan hijau Sarawak iaitu tenaga boleh diperbaharui, ekonomi hidrogen, pengangkutan lestari, ekonomi kitaran dan pembangunan bakat hijau.

Antara inisiatif utama termasuk pelancaran loji pengeluaran hidrogen bersepadu pertama di Asia Tenggara, stesen minyak, pengenalan bas hidrogen serta perkhidmatan bas elektrik.

Persidangan tersebut menghimpunkan lebih 750 peserta dari dalam dan luar negara.