Kuching diplih tuan rumah Kongres Persatuan Veterinar Unggas Dunia Ke-23

KUCHING: Kuching diumumkan sebagai bandar raya pertama di Malaysia dipilih menjadi tuan rumah Kongres Persatuan Veterinar Unggas Dunia Ke-23 (WVPAC 2025).

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, acara berprestij itu akan memberi impak bukan sahaja kepada ekonomi negeri, malah terhadap masa depan pembangunan industri unggas negara.

“WVPAC 2025 dijangka menjana lebih RM9.8 juta impak ekonomi kepada Sarawak. Namun, legasi sebenar kongres ini ialah perkongsian idea, pemeteraian kerjasama dan usaha membina sistem makanan mampan untuk generasi akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media WVPAC 2025 di Pusat Konvensyen Borneo (BCCK), di sini, hari ini.

Presiden WVPA Malaysia merangkap Pengerusi Penganjur WVPAC 2025, Profesor Dr. Abdul Rahman Omar pula menjelaskan, lebih 1,500 peserta dari hampir 50 negara bakal hadir pada kongres bertemakan Unggas Sihat Mampan untuk Dunia yang Lebih Sihat.

Katanya, acara tersebut akan menampilkan 20 pakar antarabangsa ternama serta pameran produk, inovasi dan teknologi terkini berkaitan kesihatan unggas.