SADONG JAYA: Belia perlu melengkapkan diri dengan ilmu, kemahiran dan jati diri agar mampu merebut peluang pembangunan yang sedang dilaksanakan kerajaan.
Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapi’ee berkata, pembangunan negara hanya dapat dipacu sekiranya generasi muda bersedia menjadi pemimpin berwawasan dan memiliki semangat patriotik yang kental.
“Lengkapkan diri dengan disiplin serta nilai murni agar kita tidak hanya bergantung kepada pembangunan fizikal semata-mata,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2025 di Dewan Sri Nilam, SMK Sadong Jaya, hari ini.
Menurut beliau, Jalur Gemilang wajar dikibarkan di setiap rumah dan kampung sebagai simbol kedaulatan serta penyatuan rakyat dan kempen Satu Rumah Satu Jalur Gemilang, bukan sekadar hiasan tetapi lambang kebanggaan dan kecintaan terhadap negara.
Rodiyah turut menegaskan bahawa tema Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni seiring dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca-COVID 2030 (PCDS 2030) yang menekankan kesejahteraan rakyat dan pembangunan mampan.
Program anjuran Jabatan Penerangan Malaysia Sarawak itu menyaksikan hampir 40 peserta konvoi hadir walaupun hujan, bersama-sama warga Sadong Jaya menyemarakkan semangat kemerdekaan.
