SAMARAHAN: Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi (FPBK), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) menerima kunjungan rombongan dari Akademi Guru Singapura, Kementerian Pendidikan Singapura, di sini, hari ini.
Menurut kenyataan media UNIMAS, rombongan seramai 15 guru pakar Bahasa Melayu dari 14 sekolah rendah, menengah, institusi dan maktab itu diketuai oleh penyelaras Program Penyerapan Bestari 2025 UNIMAS, Muslim Hanafiah.
Kunjungan bertujuan berkongsi amalan pedagogi Bahasa Melayu terbaik serta penerokaan integrasi teknologi kecerdasan buatan (AI) terbaik dalam pembelajaran berdasarkan kepakaran UNIMAS.
Mereka berpeluang mendalami strategi pengajaran inovatif bersama pakar teknologi pendidikan, reka bentuk pembelajaran dan linguistik perkomputeran UNIMAS, Chuah Kee Man.
Selain itu, pakar bahasa dan linguistik UNIMAS, Dr. Santrol Abdullah, turut berkongsi pengalaman pembelajaran Bahasa Melayu formal dalam konteks
kepelbagaian etnik di pedalaman.
Rombongan tersebut melawat SMK Padungan dan SK St. Teresa di Kuching bagi melihat secara langsung amalan pendidikan di lapangan.
