SIMANGGANG: Sarawak menyasarkan pembangunan 14,000 hektar jelapang padi menjelang 2030 dalam usaha meningkatkan keterjaminan makanan negara.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, inisiatif ini dijangka melonjakkan pengeluaran beras kepada 450,000 metrik tan setahun, sekali gus meningkatkan tahap sara diri kepada 60 peratus dalam tempoh lima tahun.
Beliau menegaskan misi ini bukan lagi pilihan, sebaliknya merupakan tanggungjawab bersama antara kerajaan, sektor swasta dan komuniti petani.
Beliau berkata demikian pada Majlis Hari Bersama Pelanggan Lembaga Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Batang Lupar 2025 di Dewan Suarah Sri Aman hari ini.
Dr Rundi menjelaskan, hasil padi semasa di Sarawak adalah sekitar empat hingga lima metrik tan sehektar, jauh ketinggalan berbanding 15 metrik tan sehektar di Hainan, China.
“Jurang produktiviti ini memberi mesej yang jelas, kita perlu memperkasakan penggunaan teknologi, amalan moden dan inovasi pertanian untuk mencapai sasaran yang ditetapkan,” katanya.
Beliau menjelaskan, Program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) membuktikan keberkesanannya apabila berjaya melonjakkan hasil padi, khususnya menerusi projek perintis di Tanjung Bijat, Sri Aman.
Varieti MR269 mencatatkan purata tuaian 5.5 tan per hektar pada musim kedua 2023, berbanding hanya 2.8 tan per hektar sebelum ini.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi & Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Martin Ben, Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor dan Pengerusi Agensi Pembangunan Bahagian Sri Aman, Dato’ Sri Rohani Abdul Karim.
