Laluan Kuching-Pontianak tingkat kerjasama, pelancongan

KUCHING: Peningkatan bilangan kekerapan laluan Kuching-Pontianak setiap hari mulai 8 Februari ini membantu melonjakkan kedatangan pelancongan di kedua-dua negara.

Konsulat Jeneral Republik Indonesia di Kuching Raden Sigit Witjaksono berkata, kekerapan penerbangan ini akan meningkatkan kerjasama antara Indonesia dan Sarawak dalam pelbagai aspek.

‘’Pelaksanaan kekerapan penerbangan antara Sarawak dan Indonesia terutama di Kalimantan juga dapat meningkatkan industri pelancongan perubatan di negeri ini,’’ katanya.

Beliau berkata demikian pada Sambutan Hari Bakti Imigresen Ke-74 di Bangunan Konsulat Jenderal Republik Indonesia Kuching di sini, pagi tadi.

Sementara itu kata Raden, seramai 64,900 warga Indonesia di Sarawak bakal menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada Pemilihan Umum Indonesia 2024 (PEMILU 2024) pada 11 Februari ini.

Katanya, ia akan melibatkan 153 lokasi di seluruh negeri, melibatkan dua kaedah iaitu mengundi di pejabat konsulat pada 11 Februari ini dan di 153 lokasi ladang dikenal pasti di seluruh Sarawak dari 4 hingga 10 Februari ini.

“Pada 11 Februari ini kira-kira 3,000 pengundi yang akan melaksanakan tanggungjawab mereka di pejabat konsulat, dengan lima kotak undi disediakan.

“Kesemua kotak undi akan dikumpul dan dibawa ke bandar raya ini dengan lokasi pelaksanaan penjumlahan undi berlangsung di Pusat Konvensyen Penview di sini pada 14 Februari nanti,’’ katanya.