KUCHING: Sebanyak 16 acara sukan sah akan dipertanding di bandar raya ini pada temasya Sukan Asia Tenggara atau Sukan SEA 2027.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, keputusan itu dicapai hasil mesyuarat Jawatankuasa Persiapan SEA Games 2027 baru-baru ini.
“Daripada 36 acara keseluruhan, sebanyak 16 acara telah dipersetujui untuk diadakan di Kuching,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah Golf VIP BGK 2025 di Kelab Golf Sarawak di sini hari ini.
Beliau menjelaskan, antara acara yang dikenal pasti termasuk tenpin boling, memanah, taekwondo, kriket, menembak, akuatik renang, wushu, skuasy, tenis, lawn bowls, muay thai dan petanque.
Selain itu dedahnya, golf juga dijangka dipertandingkan di KGS sekiranya disahkan, dengan beberapa kerja penaiktarafan bakal dijalankan.
Dalam masa sama, beliau memaklumkan terdapat rayuan daripada beberapa negara peserta untuk menambah tiga atau empat lagi acara, namun keputusan muktamad masih belum dibuat sama ada ia akan diberikan kepada Sarawak atau sebaliknya.
“Penganjuran ini bukan sahaja memberi peluang menyaksikan aksi bertaraf Asia, tetapi juga manfaat berganda kepada sektor pelancongan, perhotelan, perkhidmatan serta peluang besar kepada anak muda untuk menjadi sukarelawan,” jelasnya.
Menurut beliau, kebanyakan venue sudah tersedia dan hanya memerlukan sedikit penaiktarafan, manakala Stadium Sarawak yang bakal menjadi lokasi upacara pembukaan akan menjalani pengubahsuaian besar-besaran.
