Program Berselawat Pulau Salak kekalkan warisan kerohanian

KUCHING: Tradisi berarak menaiki bot ke Pulau Salak sempena Program Pulau Salak Berselawat Siri Ke-10 Tahun 2025 terus dikekalkan sebagai warisan kerohanian masyarakat.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata, majlis berkenaan bukan sekadar menghidupkan kecintaan kepada Rasulullah SAW, malah menyatukan masyarakat dalam suasana ukhuwah dan perpaduan.

Menurutnya, keistimewaan amalan turun-temurun ini menjadikan program berselawat di Pulau Salak berbeza daripada penganjuran di tempat lain, terutama dengan penglibatan masyarakat secara menyeluruh.

“Majlis seperti ini mengangkat nilai ibadah dan dalam masa yang sama memperkukuh semangat kebersamaan serta membina jati diri generasi muda agar lebih berakhlak dan berdaya tahan,” katanya semasa berucap pada program tersebut, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Santubong menegaskan, kerajaan akan terus menyokong penganjuran program berteraskan agama kerana ia sebahagian daripada usaha pembangunan insan yang seimbang.

Turut hadir, Datuk Bandar Kuching Selatan, Datuk Hilmy Othman.