Lindungi hak kanak-kanak – Fatimah

KUCHING: Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak merekodkan sebanyak 86 kes buli di sekolah bagi tempoh Januari hingga Ogos 2025.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, ini terbahagi kepada buli fizikal sebanyak 54 kes, buli lisan (16 ), buli bukan lisan (sembilan) dan buli siber (tujuh).

“Kuching dan Padawan mencatatkan jumlah tertinggi dengan 28 kes, diikuti dengan Serian (14), Sri Aman (lima), Baram (empat), Bintulu (tiga),Belaga (dua ), Sibu dan Bau (satu),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Perasmian Wacana Bestari: Isu Buli dalam Kalangan Kanak-Kanak anjuran Majlis Pembangunan Sosial (MPS) di Pustaka Negeri Sarawak, di sini, hari ini.

Fatimah berkata, kes seawal usia lapan hingga 10 tahun turut dikesan di sekolah rendah.

Sementara itu, berdasarkan statistik polis, sebanyak 20 kes buli direkodkan bagi 2024 dan lima kes bagi tempoh Januari hingga Mei 2025 di seluruh Sarawak.

“Komitmen kita di Sarawak kepada United Nation Convention for the Rights of the Child (UNCRC) 1989 untuk melindungi hak kanak-kanak daripada keganasan dan penderaan,” tambahnya.

Menurutnya, hasrat mereka juga memberi perlindungan menyeluruh, bukan sekadar hukuman, tetapi pemulihan, sokongan kaunseling dan intervensi kepada kanak-kanak yang menjadi mangsa atau pembuli dan keluarga mereka.