KUCHING: Keputusan Sarawak untuk mengawal sendiri kadar tarif elektrik dengan menawarkan harga lebih kompetitif dilihat sebagai strategi menarik aliran pelaburan baharu ke negeri ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, menegaskan kelebihan Sarawak terletak pada kekayaan sumber tenaganya.
Ini bagi membolehkan kerajaan negeri menentukan kadar yang lebih rendah berbanding pesaing lain di rantau ini.
“Jadi, kekuatan kita terletak pada tenaga dan kita menumpukan perhatian kepada ekonomi dengan mengawal harga tenaga, terutamanya dari segi tarif.
“Kita menentukan kos elektrik supaya, apabila kosnya lebih murah berbanding pesaing, ia akan menarik pelaburan ke Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Anugerah Usahawan Bumiputera Sarawak (AUBS) 2025, di sini, malam tadi.
Menurut beliau, Sarawak mempunyai kelebihan yang besar dengan adanya sungai banyak, kesemuanya diuruskan oleh wilayah ini sendiri tanpa berkongsi dengan orang lain.
Pada masa sama katanya, pelaburan yang datang ke Sarawak akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan yang menjanjikan gaji lumayan.
Hadir sama, Presiden DUBS Datu Abang Helmi Tan Sri Ikhwan, Presiden Sarawak Business Federation (SBF) Dato Sri Abang Abdul Karim Tun Datuk Abang Openg, Setiausaha Tetap Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak Dzulkornain Masron dan Ketua Dewanita dan Ahli Majlis Eksekutif DUBS Juita Drap. – UKAS
