SINGAPURA: Sarawak kini giat melaksanakan penstrukturan semula perkhidmatan awam melalui pendekatan ‘lean civil service’ yang menekankan kecekapan dan efisiensi, tanpa membebankan sistem pentadbiran sedia ada.
Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, pendekatan ini memberi penekanan kepada perkhidmatan awam yang bersaiz kecil tetapi berprestasi tinggi, dengan tumpuan utama kepada penyampaian dasar dan tadbir urus.
“Pengurusan aset dan pelaburan strategik negeri kini diserahkan kepada Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) yang beroperasi secara korporat dan profesional, sekali gus menjana pulangan dalam bentuk dividen kepada Kerajaan Sarawak,” katanya.
Hadir sama, Timbalan-timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Datuk Amar Sim Kui Hian, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta menteri-menteri kabinet.
Beliau berucap demikian semasa menyempurnakan Program Sarawak Civil Service One Team Retreat (SCS OTR) 2025 di Singapura hari ini.
Dalam ucapan sama, Abang Johari memberitahu, peranan penjawat awam hari ini bukan sekadar pelaksana dasar, tetapi sebagai rakan strategik kerajaan dalam menjayakan agenda pembangunan yang holistik dan mampan.
Bagi memperkasa penjawat awam, Sarawak jelas Premier sedang melabur dalam program latihan dan pendedahan antarabangsa melalui kerjasama dengan institusi-institusi terkemuka seperti Harvard, Oxford dan World Bank.
“Kita juga menyediakan program eksekutif khas untuk pegawai kanan perkhidmatan awam, supaya mereka sentiasa dikemas kini dengan isu semasa dan trend dunia.
“Kita mahu penjawat awam yang faham bagaimana teknologi masa depan berfungsi. Kini segala-galanya dikawal oleh teknologi, dari reka bentuk cip hingga ke sistem peranti pintar. Semua ini memerlukan bekalan kuasa, air dan paling penting, kuasa pemikiran,” tambahnya lagi.
Abang Johari juga mahu melihat Sarawak menjadi sebuah wilayah maju dan berpendapatan tinggi setaraf negara-negara Nordik di Asia menjelang 2030, bahkan menjadi ‘bintang ekonomi Asia’.
Beliau juga menyentuh tentang aspirasi masa depan, termasuk penguasaan dalam teknologi canggih dan rekaan cip, serta penglibatan dalam industri berimpak tinggi menjelang 2050. – UKAS