KUCHING: Jabatan Tanah dan Survei Sarawak (JTS) meneruskan komitmen dalam memperkukuhkan kesejahteraan mental dan psikologi penjawat awam melalui penganjuran Hari Psikologi, Kaunseling dan Kesejahteraan JTS 2025.
Pengarah Tanah dan Survei Sarawak, Datu Awang Zamhari Awang Mahmood berkata, peranan ibu bapa perlu diketengahkan, khususnya dalam menangani cabaran era digital melibatkan pengaruh permainan dalam talian, buli dan tingkah laku berisiko.
“Justeru, JTS mengambil inisiatif menjemput pakar dari Jabatan Premier Sarawak, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta pakar motivasi, pakar keibubapaan bagi meningkatkan kesedaran dan celik psikologi warga jabatan pada program kali ini,” jelasnya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh timbalannya, Rozlan Putit pada program yang berlangsung selama dua hari dari 22 hingga 23 Oktober lalu di sini.
Katanya, sepanjang 2025 pelbagai program seperti Psychological First Aid (PFA): Keselamatan Psikologi di Tempat Kerja dan Explorace Budget Blitz: Your Money, Your Way telah memberi impak positif terhadap prestasi dan kesejahteraan warga JTS.
Menurutnya, berdasarkan data dari Hospital Umum Sarawak (HUS) oleh Perunding Pakar Neuropsikiatri, Dr Chhoa Keng Hong menjelaskan peningkatan mendadak isu kesihatan mental di Sarawak yang kini mencatat peningkatan lima kali ganda dalam tempoh tiga tahun.
“Kenyataan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menunjukkan kes bunuh diri, tekanan emosi dan keresahan mental semakin membimbangkan, termasuk dalam kalangan generasi muda,” katanya.
Beliau menegaskan, kesejahteraan mental bukan lagi isu sampingan, sebaliknya merupakan prasyarat penting bagi melahirkan pemimpin masa depan, agen perubahan dan penjawat awam yang berdaya tahan emosi.
“Perkhidmatan psikologi dan kaunseling akan terus diperkasakan supaya stigma terhadap perkhidmatan ini dapat dikikis,” ujarnya.
Beliau berharap penganjuran program tersebut bukan sahaja memberikan manfaat kepada warga JTS tetapi turut memberi limpahan positif kepada keluarga dan komuniti secara menyeluruh.