Sarawak perkukuhkan kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dalam sektor minyak, gas

KUCHING: Sarawak selaku penyumbang terbesar pendapatan negara dalam sektor minyak dan gas memberi jaminan akan terus memperkukuhkan kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ini akan memberi manfaat bersama yang baik antara kedua-dua pihak.

“Kita adalah pengeluar utama petroleum di Malaysia.

“Oleh itu, adalah lebih baik sekiranya kita bekerjasama demi manfaat bersama antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri,” katanya selepas Majlis Perasmian Regata Sarawak 2025 di Tebingan Sungai Kuching.

Terdahulu, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang Dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said menjelaskan jumlah hasil petroleum negara dari tahun 2018 hingga 2024 mencecah RM775.2 bilion.

Dari jumlah itu katanya, Sarawak menyumbang sebanyak RM285.4 bilion.

Manakala, RM284.8 bilion hasil dari Semenanjung Malaysia dan RM205.0 bilion dari Sabah.

Sarawak memperoleh bahagian terbesar pelaburan huluan Petronas sepanjang tujuh tahun lalu, menerima RM113.2 bilion daripada RM256 bilion yang dibelanjakan seluruh negara.