KUALA LUMPUR: Kerajaan Sarawak akan membina kompleks Sarawak yang menempatkan kemudahan asrama kepada pelajar yang menuntut di institut pengajian tinggi (IPT) di sini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kawasan tapak bangunan terbabit sudah dikenal pasti di tengah bandar raya ini.
“Saya rasa dalam tiga tempoh tahun kompleks Sarawak akan berdiri di tengah-tengah Kuala Lumpur,” katanya semasa Agenda Town Hall Lan Berambeh Anak Sarawak (LBAS) 2025 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini hari ini.
Abang Johari juga mengumumkan berikutan Sarawak sudah menjadi pemegang majoriti saham Affin Bank, maka Rumah Sarawak akan ditempatkan di bangunan Menara Affin @TRX dan tidak lagi menumpang di premis sedia ada di sini.
“Pejabat Dana Berdaulat Sarawak kita, juga ditempatkan di TRX dan juga beberapa agensi kerajaan kita di sana,” tambahnya dan menambah kemudahan ini untuk anak Sarawak yang berkecimpung dalam ekonomi negara.
Hadir sama Timbalan Perdana Menteri merangkap Penaung LBAS 2025 Edisi Ke-16, Datuk Amar Fadillah Yusof, Timbalan-Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Menteri Kerja Raya merangkap Pengerusi LBAS 2025, Dato Sri Alexander Nanta Linggi serta menteri-menteri kabinet negeri dan Ahli-ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) .
Pada masa sama, Abang Johari turut melancarkan laman rasmi Inisiatif Kerjaya Kenyalang serta penyampaian tawaran pekerjaan kepada lebih 100 anak-anak Sarawak.
Antara agensi yang menawarkan pekerjaan ialah Affin Bank, Bintulu Port, Petronas, SMD, SLB, Ernst & Young, PWC, Pekat Energy dan Siemens Energy.
LBAS dianjurkan Sarawak Volunteers dengan sokongan penuh Kerajaan Sarawak, mengangkat tema “Perpaduan Dalam Kepelbagaian Teras Kemakmuran” sejajar dengan hasrat Kerajaan Sarawak untuk menjadi wilayah maju dan makmur berteraskan keharmonian rakyat menjelang 2030.
Lebih 10,000 anak-anak Sarawak yang berada di Semenanjung Malaysia menghadiri LBAS tahun ini dengan acara kemuncak majlis makan malam dihadiri Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, Premier Sarawak serta Timbalan Perdana Menteri.
