SIMANGGANG: Kompleks Islam Sarawak Sri Aman dijadual dirasmi Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada 20 Disember depan.
Serentak dengan pembukaan itu, persiapan rancak dijalankan dengan kerjasama pelbagai agensi.
Pengurus Besar Tabung Baitulmal Sarawak (TBS), Datu Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie berkata,
selain pusat pentadbiran, kompleks yang bakal menjadi mercu tanda baharu di sini, adalah simbol kemajuan dan penyatuan umat Islam di Sri Aman.
“Ia akan menjadi pusat ilmu, dakwah dan kebajikan untuk manfaat masyarakat,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan dan Lawatan Tapak Majlis Perasmian hari ini.
Dibina di atas tapak seluas 6.37 ekar sejak Februari 2021, kompleks tujuh tingkat itu menempatkan pelbagai jabatan kerajaan negeri termasuk Pejabat Residen Sri Aman, Pejabat Daerah, Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS), Jabatan Hutan, Jabatan Pengairan dan Saliran (DID), Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) serta Kaunter Servis Sarawak.
Terletak strategik di tepi Sungai Batang Lupar, kompleks ini turut dilengkapi 32 unit kedai tiga tingkat sebagai sebahagian daripada pembangunan bersepadu kawasan tersebut.
Reka bentuk seni bina Islamik moden serta sistem pencahayaan berwarna-warni menjadikan kompleks ini tarikan visual baharu, khususnya pada waktu malam.
Turut hadir ialah Ketua Polis Daerah Sri Aman, Superitenden Dennis Bunyam, Penolong Pegawai Tadbir Unit Protokol, Istiadat dan Pengurusan Acara Sarawak (UPPAN), Awang Mohamad Shukri Awang Arsad, Pengurus Kompleks Islam Sarawak Sri Aman, Shamsul Bahri serta agensi berkaitan.
