Kerajaan GPS guna dana sendiri, naik taraf jalan balak sebagai jalan awam

MARUDI: Kerajaan Sarawak akan menaik taraf jalan balak yang menghubungkan kampung dan rumah panjang sebagai jalan awam dengan sasaran siap sepenuhnya menjelang 2030.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata langkah itu penting bagi memudahkan penduduk pedalaman yang selama ini bergantung kepada jalan balak yang sering rosak dan memerlukan kebenaran untuk dilalui.

“Keputusan tersebut dipersetujui dalam mesyuarat Kabinet Gabungan Parti Sarawak (GPS), dan semua laluan balak ke kampung serta rumah panjang akan diwartakan sebagai jalan awam tanpa bayaran,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyempurnakan Majlis Pelancaran Projek Jalan Jalan Miri–Marudi, Mulu (Kuala Melinau) dan Long Panai–Long Lama (MMMLL) di sini hari ini.

Abang Johari memaklumkan bahawa Timbalan Premier merangkap Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, telah menubuhkan pasukan khas untuk memulakan kerja naik taraf.

Menurutnya, usaha itu bukan retorik kerana kerajaan negeri akan membiayai projek tersebut menggunakan dana sendiri bagi memastikan penduduk menikmati akses lebih baik dan seterusnya menghubungkan laluan itu sebagai spur road kepada jalan utama.

Beliau menjelaskan projek yang meliputi laluan Miri–Marudi, Marudi–Mulu (Kuala Melinau) dan Long Panai–Long Lama itu bakal menjadi pemangkin pembangunan di kawasan Baram.

“Setelah siap, rangkaian jalan tersebut akan disambungkan ke Lebuhraya Pesisir Utara, sekali gus melengkapkan akses pengangkutan di utara Sarawak,” katanya. -UKAS