Program Wanita Dinamik bantu wanita mulakan perniagaan

KAPIT: Bantuan hampir RM4 juta berjaya disalurkan kepada wanita di seluruh Sarawak melalui Program Wanita Dinamik, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri.

Katanya, ia menjadikan inisiatif itu antara usaha paling berkesan memulihkan ekonomi wanita pasca pandemik COVID-19.

Daripada jumlah itu katanya, 317 wanita di Kapit menerima manfaat membabitkan peruntukan RM158,500.

Menurutnya, program berkenaan dilancar ketika pandemik selepas kementerian mendapati ramai wanita kehilangan pekerjaan, tidak dapat keluar bekerja kerana menjaga anak dan warga emas, selain berdepan isu perceraian serta keganasan rumah tangga.

“Kita bantu mereka berniaga dari rumah dengan memberi modal RM500 tanpa memerlukan lesen. Ada yang membuat acar, menjahit dan menghasilkan biskut. Yang penting, mereka mempunyai modal untuk bermula,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Advokasi Kasih Wanita @ Kapit Wanita Dinamik & Toleransi Sifar Keganasan di Dewan Masyarakat Melayu Kampung Muhibah, di sini, hari ini.

Nancy berkata, program ini turut digabungkan dengan inisiatif Kasih Wanita serta kempen Toleransi Sifar Keganasan Terhadap Wanita.

Mengulas mengenai sambutan Eliminasi Keganasan Terhadap Wanita (EVAW) pada 25 November, beliau berkata Malaysia menyertai kempen global itu dengan menyalakan bangunan-bangunan ikonik dalam warna jingga sebagai simbol solidariti.

Beliau menggalakkan orang ramai memakai pakaian atau aksesori berwarna jingga pada 25 November sebagai tanda sokongan terhadap usaha menentang keganasan terhadap wanita.

Turut hadir ialah Menteri Kerja Raya merangkap Ahli Parlimen Kapit, Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputera), Datuk Jefferson Jamit Unyat serta Ketua Setiausaha KPWKM, Datuk Dr. Maziah Che Yusoff.