MARUDI: Pelaksanaan Projek Jalan Miri–Marudi–Mulu–Long Terawan–Long Iman (MMMLL) akan menggunakan kaedah jalan bertingkat bagi melestarikan hutan dan ekosistem di Baram.
Projek MMMLL itu dirasmikan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini.
Menurut Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, pembinaan jalan bertingkat di beberapa seksyen kritikal adalah strategi terbaik untuk mengurangkan pembukaan hutan.
Selain itu ia, memelihara biodiversiti serta memastikan pembangunan tidak menjejaskan habitat semula jadi.
“Jalan ini akan melalui kawasan hutan, pit area dan zon pergunungan. Jika kita guna kaedah konvensional, impaknya sangat besar.
“Sebab itu kerajaan mengambil pendekatan tersebut agar pembangunan berjalan, tetapi alam sekitar tetap terpelihara,” katanya pada pelancaran Projek Jalan MMMLL.
Uggah menambah, banyak negara maju seperti China dan Brunei telah menggunakan teknologi sama dan terbukti berkesan dalam melindungi ekosistem.
Katanya, projek bernilai RM3.8 bilion itu turut merangkumi jajaran sepanjang 142 kilometer (km) laluan utama, termasuk jalan bertingkat di beberapa lokasi, dan 33 kilometer jalan akses serta melibatkan pembinaan sembilan jambatan utama dan 14 jambatan kecil.
Beliau yakin pendekatan ini membolehkan pembinaan disiapkan dalam tempoh 36 bulan, lebih cepat berbanding jadual asal 48 bulan.
