KUCHING: Kerajaan memberi jaminan untuk menangani masalah kanak-kanak tanpa dokumen di Sarawak secara lebih teratur supaya mereka tidak ketinggalan menikmati pendidikan dan perkhidmatan asas.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, satu sesi koordinasi bersama kementerian serta agensi berkaitan akan diadakan dalam masa terdekat bagi menilai situasi sebenar dan memperbaiki kelemahan dalam sistem sedia ada.
“Mantan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Yew Jen Kie akan bersama kita sebagai sebahagian daripada pasukan petugas untuk membantu meneliti semula aspek undang-undang dan prosedur berkaitan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Forum Women of Impact (WOI) 2025 di Muzium Budaya Borneo, di sini, hari ini.
Menurutnya, sementara menunggu penyelesaian menyeluruh dirangka, langkah sementara perlu disediakan bagi memastikan kanak-kanak tanpa dokumen tetap dapat mengikuti persekolahan dan menerima rawatan kesihatan tanpa beban kos yang tinggi.
Dalam majlis itu juga, beliau mengumumkan peruntukan RM50,000 kepada WOI bagi menyokong penganjuran program dan inisiatif sosial pada tahun mendatang.
