SIMANGGANG: Karnival TVET Sarawak 2025 anjuran Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) membuka tirai dengan penyertaan lebih 50 agensi kerajaan dan swasta, sekali gus menjadi platform penting dalam memacu pembangunan bakat teknikal terbesar di negeri ini.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak merangkap Pengerusi Lembaga Amanah TEGAS, Datuk Len Talif Salleh berkata, penganjuran karnival berimpak tinggi itu merupakan usaha strategik dalam memperkasa agenda TVET negeri.
“TVET merupakan laluan kritikal untuk melahirkan tenaga mahir tempatan yang mampu memenuhi keperluan industri moden.
“Belia kita perlu bersedia menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi serta kehendak pasaran pekerjaan,” katanya merasmikan karnival berkenaan di Dewan Suarah Sri Aman.
Jelasnya, penglibatan sektor seperti minyak dan gas, kewangan, pembuatan serta industri teknikal lain mencerminkan komitmen pelbagai pihak dalam menyokong pembangunan bakat tempatan.
Tambah Len, karnival ini meneruskan kejayaan program TEGAS sebelum ini seperti SCaT Fair dan PRoDR, yang terbukti menjadi pemacu kepada penyertaan besar-besaran belia dalam bidang TVET.
Karnival bermula dari 14 hingga 16 November ini menghimpunkan lebih 50 agensi kerajaan dan swasta dari sektor kewangan, industri minyak dan gas, pembuatan serta pelbagai bidang yang lain.
