SPAOH: Klinik Kesihatan Spaoh menjadi projek pertama di Sarawak yang dibangunkan melalui pembiayaan bersama Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak, sekali gus menunjukkan komitmen kedua-dua pihak dalam menaik taraf perkhidmatan kesihatan luar bandar.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata projek bernilai RM41.6 juta itu dibiayai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA), masing-masing menyumbang kepada pembinaan klinik serta pembangunan kuarters baharu.
“Kuarters lama yang terlalu uzur perlu digantikan, manakala BDDA turut meluluskan pembinaan Pusat Hemodialisis berharga RM5.4 juta sebagai kemudahan tambahan untuk penduduk.
“Projek itu dibina di atas tanah seluas empat hektar dan akan menyediakan perkhidmatan kesihatan yang lebih selesa dan moden kepada masyarakat Spaoh,” katanya pada Majlis Pecah Tanah Projek Klinik Kesihatan dan Pusat Hemodialisis Spaoh hari ini.
Tambahnya, Klinik Kesihatan baharu ini dijangka menjadi pemangkin peningkatan akses, keselesaan dan kualiti rawatan kesihatan kepada komuniti Spaoh serta kawasan berdekatan.
Uggah turut memaklumkan bahawa BDDA telah melaksanakan 116 projek di kawasan tersebut, dengan perbelanjaan melebihi RM170 juta setakat ini.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pembangunan Belia, Sukan dan Keusahawanan Dato Gerald Rentap Jabu, Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu serta tetamu kenamaan lain.
