KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menzahirkan rasa gembira atas satu lagi pencapaian Bank Pembangnan Sarawak (DBOS) yang melancarkan Islamic Banking Window.
Beliau berkata, perbankan bercirikan Islam DBOS itu berpandu peraturan Syariah, menjunjung nilai-nilai kesaksamaan, keadilan, tanggungjawab sosial dan integriti.
Sektor kewangan Islam global menyaksikan pertumbuhan meyakinkan dalam era pasca pemdemik, katanya merasmikan Hari Integriti DBOS ‘Memajukan Sarawak Dengan Integriti’ di sini hari ini.
Beliau berkata, mengikut laporan Standard Chartered Bank ‘Perbankan Islam bagi institusi kewangan; Merungkai pertumbuhan dalam peralihan global’, aset kewangan patuh syariah termasuk perbankan Islam, sukuk dan dana pelaburan melepasi USD5.5 trilion pada 2024 dan diunjurkan mencecah USD7.5 trilion menjelang 2028.
Unjuran itu adalah tepat pada masanya dan peluang strategik bagi DBOS untuk meletakkan Sarawak dalam ekosistem kewangan Islam global sejajar era baharu berpandu oleh skala, kelestarian dan integrasi strategik.
Dengan inisiatif Islamic Banking Window, katanya, DBOS bukan hanya mengukuhkan tawaran kewangan tetapi juga mengukuhkan komitmen Sarawak kepada nilai inklusif dan pembangunan.
Hari integriti DBOS, katanya, mencerminkan iltizam keseluruhan jentera pentadbiran dan pembangunan di Sarawak untuk meletakkan nilai integriti sebagai asas untuk menjamin masa depan Sarawak yang bertunjangkan tadbir urus yang cukup baik.
Beliau berkata, setakat ini Sarawak mempunyai Pegawai Integriti Bertauliah (CeIOs) paling ramai di Malaysia iaitu seramai 210 orang di seluruh Sarawak.
Mereka, katanya, aktif membantu kementerian-kementerian di negeri Sarawak, jabatan, agensi, badan berkanun dan syarikat milik kerajaan dalam membangunkan OACP dan memantau pelaksanaannya.
Sarawak hanya mampu merealisasikan visi dan matlamat jika semua mengamalkan integriti secara kolektif dalam usaha membangunkan Srawak dengan kepimpinan beretika.
Kerajaan Sarawak menerapkan integriti sebagai tunjang utama dalam strategi pembangunan, penting untuk kelestarian dan kemakmuran bersama, tegas beloiau.
DBOS berprestasi baik sebagai institusi kewangan sejak diperbadankan pada 2017, katanya dan yakin, DBOS akan terus menjunjung integriti, memahami tunggungjawabnya dan menunaikan mandat membangunkan Sarawak dengan taraf profesionlisme yang tinggi.
Ikrar itu adalah komitmen bersama dan menunaikan tanggungjawab menjamin pentadbiran yang telus iaitu bebas daripada amalan rasuah dan salah guna kuasa.
Kerajaan dan persekitaran perniagaan yang terkenal dengan ketelusan dan akauntabiliti akan menarik pelabur yang sangat penting bagi Sarawak untuk maju dalam era ekonomi baharu dan hala tuju mampan, katanya.
