PUTRAJAYA: Sarawak melalui Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menghadiri Mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) Ke-82, hari ini.
Beliau yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Sarawak II mewakili Premier Sarawak ke mesyuarat itu di Jabatan Perdana Menteri, di sini.
Hadir sama Setiausaha Tetap Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar, Datu Abdullah Julaihi dan Pengarah Jabatan Tanah dan Survei Sarawak, Datu Awang Zamhari Awang Mahmood.
Mesyuarat MTN kali ini membentangkan sebanyak lima kertas pertimbangan dan tiga kertas makluman antaranya berkenaan Pindaan Akta Pengambilan Tanah (1960) dan Pemerkasaan Tatakelola Pengambilan Tanah; Status Keluasan Kawasan Berhutan Nasional 2022 dan Status Komitmen Malaysia Untuk Mengekalkan Liputan Kawasan Berhutan; serta Dasar Lanskap Negara.
Mesyuarat ini juga dihadiri Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli; Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun.
Menteri Kabinet Persekutuan yang turut berada di mesyuarat tersebut adalah Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi; Menteri Ekonomi, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; dan juga Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
