Rakyat Sarawak perlu rebut peluang ekonomi digital

LAWAS: Sarawak memerlukan penglibatan rakyat tempatan untuk merebut ruang dan peluang ekonomi digital yang baharu.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, ekonomi baharu itu telah dirintis oleh kerajaan dan asasnya sudah dibina termasuk bagi meningkatkan kapasiti dan juga berkolaborasi.

“Asasnya sudah ada, cuma tinggal kita saja untuk berusaha (ceburi),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Karnival Usahawan Lawas 2025 di Dewan Stadium Tertutup Lawas di sini, semalam.

Selain itu, Awang Tengah berkata Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak melaksanakan lebih 500 program pembangunan kapasiti dan akses pasaran sejak 2021 hingga September 2025.

Katanya, program ini memberi manfaat kepada lebih 45,000 usahawan seluruh Sarawak dan juga berbagai bantuan turut disediakan kepada mereka.

“Ini seperti Program Graduan ke arah keusahawanan(GERAK) dan usahawan teknikal dan vokasional(USTEV), Program Go Digital, skim kredit mikro Sarawak (SKMS), skim pinjaman industri kecil dan sederhana(SPIKS) dan banyak lagi,” tambahnya.

Hadir sama, Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Dato Sri Mohd Naroden Majais, Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong, Setiausaha Tetap Kementerian perdagangan antarabangsa, industri dan pelaburan Sarawak Dzulkornain Masron, Setiausaha Politik kepada Premier Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Jawa, Residen Bahagian Limbang Unus Tambi.