SADONG JAYA: Kerajaan Sarawak komited memperluaskan jaringan jalan darat ke pelusuk negeri ini bagi memastikan pembangunan dan kemajuan dapat dinikmati terutama masyarakat di luar bandar.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi berkata, usaha pembangunan infrastruktur pimpinan Premier Sarawak kini giat dilaksanakan secara besar-besaran termasuk pembinaan rangkaian jalan darat ke kawasan yang selama ini hanya boleh dihubungi melalui sungai dan perjalanan jauh.
“Sarawak merupakan negeri terbesar di Malaysia dan sebahagian masyarakat pernah berdepan kesukaran untuk ke kawasan bandar kerana ketiadaan rangkaian jalan.
“Namun kini kerajaan telah mengatur perancangan menyeluruh bagi memastikan semua kawasan mempunyai akses jalan darat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penangguhan Program Hari Bersama Komuniti Zon 4 Rangawan anjuran Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), di Padang Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Bulu Senangeh, di sini semalam.
Tambah Dr. Abdul Rahman lagi, salah satu projek terbesar yang disifatkan sebagai pemangkin pembangunan adalah pembinaan jalan darat baharu sepanjang 142 kilometer (km) di Baram, yang akan melalui kawasan hutan dan paya, bermula tahun ini dan dijangka siap sepenuhnya dalam masa empat tahun.
“Apabila siap kelak, projek ini dijangka membuka Baram sepenuhnya dan menjadi pemangkin utama kepada pertumbuhan ekonomi, akses perkhidmatan sosial serta peluang pembangunan masyarakat setempat,” ujarnya.
Beliau menegaskan bahawa pelaburan kerajaan dalam projek tersebut melibatkan kos yang besar namun sangat penting untuk masa depan Sarawak.
Dalam ucapan sama, beliau turut memuji inisiatif UKAS menganjurkan program seumpamanya yang berperanan menyebarkan maklumat rasmi Kerajaan Sarawak kepada komuniti melalui pendekatan lapangan yang lebih dekat dengan rakyat.
Majlis penangguhan tersebut turut dihadiri Ahli Parlimen Batang Sadong Rodiyah Sapiee, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan Awla Dris dan Pengarah UKAS Awang Putrayusrie Awang Redzuan. – UKAS
