Pendekatan baharu lestarikan pembiayaan pendidikan dikaji

KUCHING: Sarawak kini meneliti pendekatan baharu bagi memastikan pembiayaan pendidikan di Sarawak dapat dilaksana secara mampan bagi memenuhi keperluan masa depan.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, penekanan kerajaan memfokuskan kepada melahirkan generasi muda Sarawak yang berpendidikan tinggi serta berilmu untuk membantu memajukan negeri.

“Kita kaya dengan sumber air, tetapi kita mesti tahu bagaimana untuk memanfaatkannya. Kita hanya boleh memperoleh nilai daripadanya jika kita mempunyai pengetahuan. Sebab itu, apabila kita beralih kepada hidrogen, sebenarnya ia datang daripada air, H20,” ktanya pada Majlis Penyampaian Anugerah Khas YAB Premier Sarawak (AKPS) 2025 di sini hari ini.

Bagi memperkasa pembangunan bakat, beliau menekankan keperluan melatih tenaga kerja berkemahiran tinggi serta mengamalkan pemikiran positif dan kritikal agar Sarawak terus maju.

Menyentuh mengenai pelaksanaan pendekatan dwibahasa di Sarawak, tegasnya ia elemen penting mengambil kira sektor-sektor berteknologi tinggi seperti cip dan semikonduktor yang memerlukan penggunaan bahasa Inggeris. – UKAS