Pemergian ibu Dr Sim kehilanganbesar buat SABATI, masyarakat

KUCHING: Pemergian Puan Sri Datin Amar Lim Su Kheng amat dirasai kerana mendiang dikenali sebagai seorang penyumbang aktif dalam bidang kebajikan dan ibu kepada Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata pemergian mendiang merupakan satu kehilangan besar bukan sahaja kepada keluarga malah Badan Amal Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri Sarawak (SABATI).

Premier menyatakan bahawa mendiang sentiasa menjadi penyokong setia Dr Sim dalam tugasan rasmi beliau serta turut terlibat secara aktif dalam pelbagai aktiviti komuniti.

“Mendiang seorang yang berhati mulia serta mendedikasikan masa dan tenaga untuk pelbagai program SABATI menjadikan kehilangannya sangat dirasai,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menziarahi Dr Sim di rumahnya bagi menyampaikan ucapan takziah mewakili seluruh anggota kabinet negeri.

Tambah beliau, penglibatan mendiang dalam SABATI memberi kesan positif yang ketara terhadap pelaksanaan program masyarakat, termasuk membantu golongan yang memerlukan sokongan.

“Kehilangan ini sangat dirasai dan kami berdoa agar keluarga Dr Sim diberikan kekuatan menghadapi detik sukar ini,” katanya.

Puan Sri Lim Su Kheng meninggal dunia semalam pada usia 83 tahun.