Tekanan hidup, faktor ekonomi penyumbang jenayah seksual

KUCHING: Teman lelaki mangsa dilaporkan sebagai suspek dalam 74 daripada 143 kes rogol yang dicatat di Sarawak antara Januari dan Oktober tahun ini.

Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Seri Fatimah Abdullah, walaupun berlaku hubungan suka sama suka, ia tetap dikira sebagai rogol jika mangsa berusia di bawah 16 tahun.

“Ramai remaja masih belum memahami konsep rogol statutori, iaitu kes yang dianggap jenayah walaupun kedua-dua pihak bersetuju, tetapi salah seorang mangsa masih di bawah umur. Persetujuan tidak mengubah status kes jika mangsa berumur 16 tahun ke bawah.

“Ibu bapa boleh membuat laporan supaya kes dibawa ke mahkamah. Inilah yang kami tekankan kepada pelajar,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Sehenti Remaja Hamil (OSTPC) di Wisma Bapa Malaysia hari ini.

Selain teman lelaki, beliau berkata, suspek lain kebanyakannya adalah individu rapat dengan mangsa, termasuk ahli keluarga seperti pakcik, bapa kandung, abang kandung, bapa tiri dan datuk, menurut data Polis Diraja Malaysia.

Fatimah menekankan bahawa pendidikan mengenai sempadan sentuhan selamat dan tidak selamat amat penting kerana kebanyakan kes melibatkan orang yang dipercayai mangsa.

“Tekanan hidup dan faktor ekonomi turut menyumbang kepada jenayah seksual. Daripada jumlah mangsa, 54 berasal daripada kumpulan B40, manakala 53 suspek juga daripada B40.

“Sementara itu, kes berpunca daripada perkenalan melalui media sosial meningkat kepada 17 kes, berbanding 10 kes tahun lalu, melibatkan platform seperti TikTok, Telegram, WhatsApp, Facebook dan WeChat,” katanya.