KUCHING: Kerajaan Sarawak kini bergerak ke arah pentadbiran lebih efisien melalui model ‘lean government’ yang menekankan pengurusan dana yang cekap dan pengurangan birokrasi.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata pentadbiran berasaskan ‘lean’ membolehkan jabatan negeri menyesuaikan diri dengan transformasi digital dan meningkatkan prestasi perkhidmatan awam.
Beliau menegaskan bahawa kedua-dua elemen ini, iaitu penggunaan teknologi digital dan pengurusan kewangan yang teratur, merupakan asas penting dalam membentuk pentadbiran yang lebih pantas dan berkesan.
“Kita ingin memastikan sistem kerajaan bergerak lancar, cekap dan mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
“Transformasi digital adalah kunci dalam usaha ini,” katanya selepas merasmikan sambutan Hari Perkhidmatan Awam Sarawak 2025 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) hari ini.
Abang Johari menambahkata, kerjasama antara agensi negeri dan Persekutuan, terutamanya dalam sektor kritikal seperti pendidikan dan kesihatan, penting bagi memastikan projek pembangunan berjalan lancar dan mencapai matlamat.
Beliau menambah isu perbezaan gaji antara penjawat awam negeri dan Persekutuan adalah perkara subjektif dan yang lebih penting adalah kecekapan jentera perkhidmatan awam dalam melaksanakan dasar kerajaan secara efektif.
