Parti PBB Machan bantu tiga pesakit

KANOWIT: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machan, Allan Siden Gramong dan Ketua Skuad Kasih Sayang Pergerakan Wanita Parti PBB Cawangan Machan, Datin Sri Dato Catherine Gramong menyumbang wang tunai dan kerusi roda kepada tiga pesakit di sini, baru-baru ini.

Caroline Tibu dari Rumah Tibu Bukong, Kanowit, merupakan pesakit Down syndrome menerima sebuah kerusi roda untuk memudahkan pergerakannya.

Manakala, Samsudin Sani pesakit kencing manis dan bapa mertuanya Nyambong Tamba, warga emas yang mengalami masalah kesihatan dari Rumah Ruma, Simpang Jagoi/Lesih turut menerima sumbangan kewangan.

Bendahari Pergerakan Wanita Parti PBB Cawangan Machan, merangkap Ahli Majlis Tertinggi (MT) Parti PBB, Kaunselor Belala Empawie menyerahkan sumbangan berkenaan kepada ketiga-tiga pesakit pada satu majlis ringkas di sini.

Setiausaha Pergerakan Wanita Parti PBB Cawangan Machan, Tuai Rumah Madeline Bembang Lanting dalam satu kenyataan berkata, bantuan itu bertujuan memastikan golongan terjejas mendapat perhatian sewajarnya.

“Kami berusaha membantu keluarga yang berdepan cabaran hidup, terutama apabila ketua keluarga tidak mampu bekerja. Sokongan seperti ini dapat memberi sedikit kelegaan kepada mereka,” ujarnya.

Beliau turut melahirkan rasa simpati apabila isteri Samsudin keluar bekerja menyara keluarganya dengan lima anak yang masih bersekolah serta menjaga ibu bapa yang uzur.

Turut hadir Exco Pergerakan Wanita Cawangan Machan dan ahli pergerakan dari Ranting Machan, Bukong dan Germai.