Warga perkhidmatan awam Sarawak perlu amalkan 3R

KUCHING: Warga perkhidmatan awam Sarawak mesti mengamalkan rangka kerja 3R iaitu Lawati Semula (Revisit), Fikir Semula (Rethink) dan Isi Semula (Recharge).

Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, ini bukan sekadar slogan; ia adalah seruan untuk bertindak dan panduan prinsip bagaimana mereka berfikir, bertindak dan berkhidmat.

Katanya melalui 3R, mereka mesti ada keberanian menyemak dan memperbaiki cara bekerja untuk mengenal pasti jurang, kesesakan, menangani ketidakcekapan dan memastikan perkhidmatan benar-benar memenuhi keperluan dan jangkaan rakyat serta semua pihak berkepentingan.

“Kita juga mesti secara berterusan membentuk semula strategi dan sistem menjadi lebih strategik, berpandangan ke hadapan dan berpusatkan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Hari Perkhidmatan Awam Sarawak 2025 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.

Pelancaran disempurnakan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Abu Bakar berkata, untuk mengisi semula, mereka mesti memperbaharui dan menguatkan tenaga institusi mereka dengan memperkukuh komitmen kepimpinan, mempromosi keputusan berasaskan data, membina kapasiti dan keupayaan dan mempertingkat kesediaan digital.

“Pada hari ini kami berbesar hati kerana Premier akan melancarkan sebuah buku Prinsip 3R Perkhidmatan Awam Sarawak,” katanya.

Menurutnya, buku yang akan dilancarkan itu adalah salah satu contoh terbaik bagaimana mereka kongsi kisah-kisah kejayaan Perkhidmatan Awam Sarawak.

Beliau berkata, ia memaparkan bagaimana prinsip 3R diterjemah ke dalam tindakan yang memberikan kesan langsung dalam tadbir urus.