KUCHING: Subjek Bahasa Inggeris mencatat kadar kelulusan tertinggi 90.97 peratus dalam Ujian Penilaian Dual Language Programme Sarawak Tahun 6 (UP-DLPS 6), kata Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak.
Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, ini menandakan bahawa program penguasaan dan pengayaan Bahasa Inggeris menunjukkan prestasi paling kukuh antara subjek matematik dan sains di bawah UP-DLPS 6.
UP-DLPS 6 yang sedang dilaksanakan memberi hasil positif dengan seramai 5,241 pelajar atau 18.07 peratus calon memperoleh gred A dalam subjek Bahasa Inggeris, katanya pada sidang media Pengumuman Keputusan UP-DLPS 6 di sini, hari ini.
Manakala, subjek sains dan matematik masing-masing mencatat kadar kelulusan 84.71 peratus dan 61.01 peratus.
Matematik, katanya, yang kekal sebagai subjek paling mencabar, khususnya di sekolah luar bandar dan Sekolah Kurang Murid (SKM) memerlukan intervensi segera dan lebih berfokus.
Dalam ujian UP-DLPS 6 itu, tambahnya, seramai 1,734 pelajar atau 5.98 peratus calon memperoleh gred A dalam subjek itu.
Prestasi sains juga memberangsangkan namun jumlah pencapaian cemerlang masih rendah, katanya dan menegaskan, ini menunjukkan keperluan untuk memperkukuh pemahaman konsep dan pembelajaran berasaskan inkuiri.
“Hanya 199 pelajar atau 0.69 peratus memperoleh gred A dalam subjek sains,” katanya.
Roland berkata, UP-DLPS 6 berfungsi sebagai alat diagnostik bagi menilai keberkesanan program DLP Sarawak dan mengenal pasti bidang yang memerlukan penambahbaikan, bukan sebagai pertandingan antara pelajar, sekolah atau
Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).
Langkah seterusnya adalah untuk melaksanakan intervensi bersasar bagi memperkukuh prestasi matematik dan sains, khususnya di sekolah luar bandar dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (MOE), Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) dan agensi berkaitan, katanya.
UPDLPS 6 2025 melibatkan 1,050 sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan dan swasta, dengan seramai 29,002 pelajar Tahun 6 menduduki kertas matematik dan Bahasa Inggeris, manakala 29,000 menduduki kertas Sains dengan kadar kehadiran keseluruhan mencapai 99.46 peratus.
