PULAU BRUIT: Sebanyak 95 projek pembinaan, naik taraf serta pemulihan masjid, surau dan tanah perkuburan Islam siap dilaksanakan sejak 2018 hingga Oktober lalu.
Jumlah tersebut adalah sebahagian daripada 197 projek yang diluluskan melibatkan jumlah siling peruntukan sebanyak RM958 juta.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Pemantauan Projek, DBKU dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, 77 projek lagi dalam fasa perancangan, manakala 25 lagi sedang dilaksanakan.
Menurutnya, pembiayaan projek ini disalurkan melalui peruntukan khas di bawah Special Development Assistance Fund (SDAF).
“Bagi pembangunan masjid, surau dan Tanah Perkuburan Islam di negeri ini, projek-projek dilaksanakan di bawah pengurusan Majlis Islam Sarawak (MIS) dan Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS).
“Ia meliputi pembinaan baharu, naik taraf, pembaikan serta kerja-kerja pemulihan untuk memastikan keselesaan umat Islam menunaikan ibadah,” jelasnya.
Beliau berkata demikian semasa lawatan kerja ke Pulau Bruit bagi meninjau perkembangan dua projek pembinaan masjid utama iaitu Masjid Kampung Semop dan Masjid Kampung Penibong hari ini.
Pembinaan Masjid Kampung Semop yang berharga RM6,771,100 berada pada tahap kerja sebanyak 8.95% dengan tempoh pelaksanaan selama 18 bulan dan dijangka siap pada Oktober 2026.
Masjid Kampung Penibong juga diluluskan tapak bagi pembinaannya.
Sementara itu, Abdul Rahman berkata, pelbagai program keagamaan, pendidikan serta pengimarahan masjid akan terus dilaksanakan oleh MAIS dan JAIS pada tahun hadapan.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop, Datuk Abdullah Saidol berkata, selain projek berskala besar seperti pembinaan jambatan dan jalan raya, Kerajaan Sarawak melalui kepimpinan Premier Sarawak sentiasa menasihatkan agar wakil rakyat memberi perhatian serius terhadap pembangunan rumah-rumah ibadat di kawasan masing-masing.
Katanya, kesejahteraan rakyat bukan hanya terletak pada kemudahan fizikal dan infrastruktur, tetapi turut bergantung pada penyediaan ruang ibadah yang selesa, lengkap dan terurus.
