KUCHING: Kerajaan Sarawak bakal menambah jumlah barisan kabinet negeri sebagai sebahagian usaha memperkukuh pengurusan eksekutif, kata Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar.
Katanya, pada masa sama ia memastikan setiap dasar pembangunan dilaksanakan dengan lebih fokus menjelang 2030.
“Keperluan menambah jumlah menteri timbul apabila beban kerja dalam pentadbiran negeri semakin meningkat, sekali gus menuntut perhatian khusus bagi setiap portfolio.
“Semua kementerian yang wujud ketika ini akan dikekalkan, namun bilangan menteri yang mengetuai kementerian tersebut akan ditambah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) sini, petang tadi.
Menurut beliau, keadaan semasa yang menyaksikan beberapa menteri mengendalikan dua atau tiga portfolio pada masa sama tidak lagi sesuai dengan skala pembangunan negeri.
Kabinet yang lebih besar katanya, dilihat mampu memastikan proses membuat keputusan menjadi lebih efisien, selain meningkatkan kemampuan kerajaan dalam mengurus sektor strategik.
Penambahan jawatan menteri tersebut akan dibawa ke persidangan DUN pada 24 November melalui pembentangan Rang Undang-Undang (Pindaan) Perlembagaan Sarawak 2025 oleh Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Mohamad Asfia menambah bahawa pertambahan kerusi DUN daripada 82 kepada 99 kerusi turut menjadi asas mengapa Kabinet perlu diperkasakan.
Senarai individu yang bakal mengisi jawatan baharu itu telah disediakan, namun pengumuman rasmi akan dibuat oleh Premier dalam masa terdekat.
