KUCHING: Program Citra Akademik untuk Komuniti dan Alam (CAKnA) memberi manfaat kepada penduduk Kampung Salak apabila mereka diberi pendedahan berkaitan pencegahan diabetes dan penyakit Paru-Paru Kronik (COPD).
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata, program itu membantu membawa pakar kesihatan terus ke kawasan terpencil sekali gus memudahkan penduduk mendapatkan maklumat dan pemeriksaan asas tanpa perlu ke bandar.
“Penglibatan doktor dan sukarelawan Universiti Malaya (UM) menunjukkan komitmen tinggi pihak akademik dalam menyokong komuniti luar bandar melalui sesi perkongsian dan konsultasi,” katanya pada majlis tersebut di sini, pagi tadi.
Nancy turut menggalakkan penduduk memanfaatkan peluang tersebut untuk memahami keadaan kesihatan mereka, termasuk bertanya terus kepada doktor mengenai ubat dan langkah pencegahan penyakit.
Beliau berkata, setiap maklumat yang disampaikan sepanjang program perlu diberi perhatian kerana ia membantu penduduk mengambil langkah awal sebelum masalah kesihatan menjadi serius.
Dalam ucapannya, Nancy turut menekankan kepentingan pendidikan STEM dalam kalangan kanak-kanak Kampung Salak bagi membuka peluang kerjaya dalam bidang profesional seperti perubatan dan kejuruteraan.
Pada program itu, beliau turut mengumumkan sumbangan dua kanopi, 100 kerusi dan 10 meja melalui rangkaian KASIH NS kepada JKKK Kampung Salak untuk kegunaan aktiviti komuniti pada masa hadapan.
