PERKIM Cakna 2025 bantu golongan sasar

KUCHING: Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Cawangan Kuching aktif memainkan peranan dalam memperkasa syiar Islam dengan menganjurkan Program PERKIM Cakna 2025.

Pengerusi PERKIM Cawangan Kuching, Dato Sri Sharifah Mordiah Tuanku Fauzi berkata, penganjuran program itu komitmen jitu pertubuhan dalam melahirkan umat Islam berilmu, sejahtera dan hidup harmoni dalam kepelbagaian bangsa, agama dan ideologi.

Katanya, Program PERKIM Cakna 2025 memberi tumpuan kepada golongan yang menjadi sasaran kebajikan pertubuhan itu seperti anak-anak yatim, asnaf, warga emas, ibu tunggal dan saudara baru yang memerlukan sokongan dan perhatian.

“Antara objektif memberikan motivasi, sokongan sosial serta membuka ruang untuk peserta berkongsi rezeki dan kebahagiaan demi kesejahteraan ummah,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyempurnakan penutupan program itu di Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Kuching hari ini.

Seramai 42 peserta berumur 13 hingga 16 tahun menerima sumbangan berupa alat tulis, buku nota dan tabung, manakala 10 orang ibu tunggal, saudara baru dan warga emas menerima sumbangan berbentuk bakul makanan.

Ia dianjurkan dengan kerjasama Pertubuhan Ikatan Siswa Siswi Akademi Halal (ISWAH), UiTM Cawangan Sarawak Kampus Samarahan 2.