SPAOH: Kursus membuat roti bun anjuran Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Bukit Saban di Ranting Anyut, Rumah Lempaong Anyut, Paku sebagai pemangkin untuk melahirkan lebih ramai usahawan wanita desa.
Seramai 53 peserta dari tujuh rumah panjang iaitu Rumah Lempaong, Rumah Engkrebai, Rumah Udau, Rumah Nanam, Rumah Sungai Rian, Rumah Linggit dan Rumah Belabak menyertai kursus yang memberi tumpuan kepada kemahiran asas pembuatan kuih dan roti bun.
Peserta dibimbing Chef Jane, seorang baker berpengalaman 25 tahun dan kini berkhidmat di Yahos School of Skills, melalui sesi teori dan praktikal bagi memastikan mereka mahir dari segi resipi, teknik serta aspek kebersihan dan kualiti produk.
Ketua Pergerakan Wanita Parti PBB Bukit Saban, Natasha Nasa Uggah berkata, kursus itu dirangka bukan sekadar untuk mengisi masa lapang, tetapi langkah awal membina keyakinan wanita untuk menceburi bidang keusahawanan.
“Harapan kami ialah supaya peserta berani mengambil langkah seterusnya, sama ada memulakan perniagaan kecil-kecilan dari rumah atau secara berkumpulan, agar kemahiran yang dipelajari hari ini dapat diterjemahkan kepada sumber pendapatan keluarga,” katanya.
Natasha menambah bahawa Wanita Bukit Saban akan terus bekerjasama dengan agensi dan rakan latihan bagi menyediakan banyak program pemerkasaan ekonomi wanita.
