MALUDAM: Projek pembinaan Dataran Budaya Maludam yang bakal menjadi mercu tanda baharu di kawasan itu bermula secara rasmi.
Majlis serah tapak projek bernilai RM1 juta itu disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor semalam.
Skop projek melibatkan pembinaan sebuah Dataran Budaya baharu yang berfungsi sebagai ruang selesa untuk penganjuran aktiviti kebudayaan, kemasyarakatan dan program komuniti.
Dayang Noorazah sehubungan itu merakamkan penghargaan kepada Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA), Pejabat Residen, kontraktor serta semua pihak yang bekerjasama menjayakan projek tersebut.
Beliau menjelaskan, projek tersebut adalah bukti kesungguhan Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) meningkatkan taraf hidup rakyat luar bandar melalui pembangunan berfasa dan berimpak tinggi.
Selain dataran terbabit, katanya projek lain di DUN Lingga ialah projek mitigasi banjir bagi penempatan utama sepanjang Jalan Susur di Jalan Pesisir Maludam–Triso; pembinaan baharu sistem saliran dan perparitan di kawasan perkampungan Maludam; pembinaan Pusat Pembangunan Wanita dan Ibu Kampung Triso (dijangka siap Julai 2026) dan pembinaan Pusat Komuniti JKKK Kampung Triso (dijangka siap Julai 2026).
