LUBOK ANTU: Lubok Antu Palm Oil Mil (LAPOM) mampu memproses kira-kira 30,000 metrik tan isirung kelapa sawit setahun dalam usaha meningkatkan pengeluaran makanan ternakan berasaskan komoditi itu.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel berkata, pencapaian itu meletakkan Sarawak pada landasan kukuh untuk membangunkan rantaian makanan ternakan yang lebih mampan dan berdaya saing.
“Ia akan membuka peluang komersial lebih besar dalam sektor makanan ternakan berasaskan sawit,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke loji tersebut, semalam.
Sementara itu, Pengurus Besar SALCRA, Datu Joseph Blandoi berkata, usaha ini akan membuka laluan untuk Sarawak ke arah ekonomi sirkular yang membolehkan sisa-sisa daripada pemprosesan sawit ditukar menjadi produk bernilai, termasuk bahan asas berpotensi tinggi untuk pengeluaran makanan ternakan.
Antara komponen penting ialah Palm Kernel Expeller (PKE), bahan sampingan berprotein tinggi daripada proses pengekstrakan minyak isirung sawit, yang kini mendapat perhatian sebagai elemen utama dalam formulasi makanan ternakan.
Dalam sesi taklimat, beliau menjelaskan Loji Pemprosesan Isirung Sawit (Kernel Crushing Plant) yang siap pada suku kedua tahun ini membabitkan perbelanjaan sebanyak RM23 juta.
Turut hadir, Pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU) Sarawak Datu Lester Matthew, Kontroler Alam Sekitar Datu Jack Liam dan Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar (MEESty) Ts Dr Nurleyna Yunus.
