KUCHING: Kerajaan Sarawak mempunyai matlamat untk menjadikan Sarawak sebagai negeri yang mesra warga emas.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak Dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti juga sedang meneliti pelaksanaan Dasar Warga Emas Negeri Sarawak.
Katanya, ini membolehkan dasar itu lebih menyeluruh dan responsif terhadap keperluan semasa termasuk penjagaan kesihatan, perumahan mesra warga emas, dan sokongan psikososial.
“Matlamat kita ialah untuk menjadikan Sarawak sebuah negeri yang mesra warga emas, mereka dapat hidup dengan bermaruah, berdikari, dan bahagia dalam komuniti masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Sambutan Hari Warga Emas Peringkat Negeri Sarawak 2025 dengan tema “Warga Emas, Wajah Masa Depan Kita” di sini, hari ini.
Fatimah berkata, Kerajaan Sarawak melalui kementerian itu juga sentiasa komited memastikan kebajikan warga emas terpelihara dan sejahtera dengan antara usaha dan inisiatif dijalankan termasuk Penubuhan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) di seluruh negeri.
Katanya, ini sebagai pusat interaksi sosial, pembelajaran, dan riadah untuk warga emas serta melaksanakan Program “Active Ageing” yang menggalakkan warga emas kekal cergas dan sihat secara fizikal, mental, serta sosial.
Menurutnya, terdapat program Bantuan Warga Emas yang disalurkan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak pada September 2025 kepada seramai 22,440 penerima.
“Ini membabitkan perbelanjaan berjumlah RM116,449,800 diharap membantu meringankan beban perbelanjaan harian,” tambahnya.
Beliau berkata, satu lagi inisiatif kerajaan adalah program khidmat bantu di rumah (KBDR) yang mana seramai 666 orang warga emas yang tidak berupaya mengurus diri kerana uzur dan tidak mempunyai penjaga tetap di rumah telah dibantu oleh sukarelawan KBDR.
Katanya, ini membabitkan kos RM465,500 dalam tempoh Mac hingga September tahun ini.
