SEBUYAU: Kerajaan Sarawak meluluskan peruntukan berjumlah RM150 juta bagi pelaksanaan projek naik taraf bekalan elektrik di Bahagian Samarahan.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, projek ini merupakan satu inisiatif strategik untuk meningkatkan kapasiti kuasa bekalan elektrik di Bahagian Samarahan dengan menggunakan teknologi Medium Voltage Covered Conductor (MVCC).
“MVCC ialah sistem kabel voltan sederhana berpenebat yang akan mengurangkan masalah gangguan elektrik yang sering berlaku disebabkan penggunaan talian tanpa penebat yang terdedah kepada cuaca buruk.
“Selain itu, sambaran kilat, haiwan atau sentuhan dahan pokok yang ditanam di bawah dan berdekatan dengan talian.
“Projek naik taraf bekalan elektrik di Bahagian Samarahan yang akan bermula pada Disember 2025, dijangka akan siap sepenuhnya pada 2028 akan meliputi daerah Samarahan, Asajaya, Sadong Jaya, Sebuyau, Simunjan dan Gedong,” katanya pada Majlis Pelancaran Projek Naik Taraf Bekalan Elektrik Bahagian Samarahan di Dewan Kampung Sampat, Sebangan, Sebuyau, hari ini.
Pelancaran dilakukan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau itu memberitahu, skop projek ini merangkumi pemasangan talian MVCC dari Asajaya ke Jambatan Batang Sadong (anggaran 22.5 km).
“Dua submarine cables menyeberangi Sungai Batang Sadong (1.8 km), pemasangan talian MVCC dari Jambatan Batang Sadong ke Sebuyau, Simunjan dan Gedong (anggaran 110 km) dan pemasangan fiber optic cable dari Asajaya ke Sebuyau (anggaran 68.6 km).
“Penyusunan semula talian dan kerja-kerja menaik taraf serta penggantian transformer bagi memenuhi dengan siapnya projek ini kelak, ianya akan memberikan manfaat kepada seluruh penduduk setempat,” ujarnya.
Katanya, isu berkenaan kerosakan peralatan elektrik di rumah kediaman dan premis perniagaan juga akan dapat diatasi melalui pengurangan gangguan bekalan elektrik.
