Sarawak ambil inisiatif naik taraf bekalan elektrik kepada tiga fasa

SEBUYAU: Bekalan elektrik di Sarawak bakal dinaik taraf susulan peningkatan penggunaan tenaga elektrik di seluruh negeri, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Menurut beliau, perubahan gaya hidup dan perkembangan ekonomi di luar bandar menuntut sistem elektrik yang lebih stabil dan mencukupi.

Abang Johari mengimbau bahawa pada tahun 1979, kebanyakan penduduk hanya menggunakan sistem fasa tunggal yang cukup untuk keperluan asas.

“Sekarang, penggunaan tenaga elektrik jauh lebih tinggi dan sistem lama sudah tidak lagi memadai,” katanya selepas merasmikan Projek Naik Taraf Bekalan Elektrik Bahagian Samarahan di Dewan Kampung Sampat, Sebangan, hari ini.

Beliau menambah, Kerajaan Sarawak mengambil inisiatif sendiri memperuntukkan RM150 juta bagi menaik taraf bekalan elektrik kepada tiga fasa di seluruh Samarahan hingga ke Sebuyau, selepas pelaksanaan sebelum ini oleh Kerajaan Persekutuan tertangguh.

“Projek ini merangkumi pembinaan dua substesen utama di Asajaya dan Sebuyau, serta pemasangan kabel moden yang lebih selamat dan tahan lasak bagi mengurangkan gangguan seperti litar pintas dan tripping.

“Selepas Samarahan, projek sama akan diperluas ke Bahagian Betong, bagi memastikan kawasan tengah Sarawak turut menikmati bekalan elektrik setaraf kawasan bandar.

“Dalam tempoh lima hingga tujuh tahun, seluruh Sarawak dijangka menggunakan bekalan elektrik tiga fasa, sekali gus membuka peluang pembangunan luar bandar ke tahap lebih baik,” katanya.