KUCHING: Rekod eKasih setakat 1 Oktober menunjukkan Sarawak termasuk Kabong tidak mempunyai Ketua Isi Rumah (KIR) dalam kategori miskin tegar.
Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Mohammad Razi Sitam, berkata ini
berdasarkan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) miskin tegar 2022 sebanyak RM1,298.
Beliau menjelaskan, bahawa masih terdapat 32,430 KIR berstatus miskin di seluruh negeri, manakala 726 KIR di Kabong berada dalam kategori miskin mengikut PGK RM2,618 sebulan.
“Kerajaan Sarawak melaksanakan pelbagai skim bantuan kewangan, sosial dan keusahawanan bagi menyokong keluarga berpendapatan rendah, termasuk program asas seperti Sumbangan Keperluan Asas Sarawak, Endowment Fund Sarawak, bantuan ibu bersalin, kanak-kanak, warga emas serta sokongan kepada wanita sebagai KIR.
“Turut disediakan ialah geran usahawan, bantuan peralatan, latihan kemahiran, dan inisiatif berkaitan kesihatan, pertanian, pendidikan serta perumahan,” katanya menjawab soalan ADUN Kabong, Dato Mohd Chee Kadir yang meminta penjelasan jumlah sebenar isi rumah miskin tegar mengikut statistik terkini pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, hari ini.
Razi turut menerangkan bahawa eKasih berfungsi sebagai pangkalan data nasional bagi memudahkan perancangan dan pemantauan program pembasmian kemiskinan, meliputi maklumat individu, penerimaan bantuan serta keberkesanan program.
Katanya, Sarawak masih merekodkan 32,430 isi rumah miskin di bawah sistem eKasih, menunjukkan cabaran kemiskinan masih signifikan walaupun miskin tegar berjaya disifarkan.
Bahagian Kuching mencatat angka tertinggi dengan 5,363 isi rumah miskin, diikuti Mukah (5,001), Kapit (3,796), Samarahan (3,613), Sibu (2,954) dan Betong (2,711).
Di peringkat daerah pula, Kuching (2,849), Sibu (1,364), Matu (1,073) dan Kapit (1,201) menjadi antara penyumbang terbesar. Bagi Kabong, sebanyak 726 KIR direkodkan dalam kategori miskin berdasarkan PGK Miskin 2022 iaitu RM2,618.
Razi menegaskan, kerajaan negeri sedang melaksanakan pelbagai inisiatif bagi mengurangkan beban rakyat berpendapatan rendah, termasuk bantuan tunai, skim keusahawanan, bantuan perubatan, pertanian, perumahan serta pendidikan, selain pelbagai program peningkatan pendapatan.
