Banjir: Pelan mitigasi menyeluruh perlu disegerakan di Bintulu

KUCHING: Kerajaan diminta melaksanakan pelan mitigasi banjir melibatkan Sungai Sebiew dan Kuala Batang Kemena khususnya di Bintulu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee berkata, permohonan itu perlu diberi perhatian segera susulan banjir 29 Januari lalu sehingga menyebabkan penduduk Bintulu trauma serta mengalami kerugian harta benda yang besar.

Menurutnya, antara langkah jangka pendek yang dicadangkan ialah menaik taraf sistem perparitan usang di kawasan kampung dan perumahan, selain melaksanakan penyelenggaraan perparitan secara berkala di semua penempatan termasuk rumah panjang luar bandar.

“Penanda aras air banjir juga perlu dipasang di lokasi jalan raya yang kerap dilanda banjir,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2026), 2025 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, hari ini.

Iskandar turut mencadangkan pemasangan sistem siren banjir sebagai amaran awal automatik yang memantau paras air sungai secara masa nyata, seterusnya membunyikan siren apabila berlaku peningkatan mendadak.

Selain itu, katanya, pemasangan pam monsun yang berfungsi menyedut air melimpah dan mengalirkannya ke longkang mampu mengurangkan risiko banjir besar serta mengawal paras air daripada memasuki kawasan perumahan penduduk.

Bagi jangka panjang, beliau mencadangkan kerja-kerja penambahbaikan, pelebaran, pendalaman dan penyelenggaraan berkala Sungai Sebiew dan Kuala Batang Kemena dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) Rancangan Boleh Pinda Pertama.

Iskandar turut menegaskan bahawa setiap pembangunan kampung baharu atau taman perumahan perlu mewajibkan pembinaan kolam takungan banjir sebagai langkah menangani hujan luar biasa.

Selain itu, katanya, penempatan semula penduduk kampung yang tinggal di sepanjang Sungai Sebiew ke kawasan penempatan baharu di Jepak turut dirancang bagi mengurangkan risiko bencana pada masa depan.