Blok baharu SK Abang Ali dinamakan Puan Sri Juma’ani

SIBU: Blok pentadbiran baharu Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Ali dinamakan sebagai blok Puan Sri Datuk Amar Hajjah Juma’ani bagi menghargai jasa Allahyarhamah, isteri Premier Sarawak dan juga bekas murid sekolah itu.

Perasmian penamaan disempurnakan oleh anak Premier, Dayang Norjihan, yang turut melawat blok tersebut.

Majlis tersebut diadakan serentak dengan Majlis Khatam Al-Quran Ke-18, melibatkan 91 murid Tahun Enam sesi 2025.

Dayang Norjihan berkata, penamaan tersebut membawa makna kepada keluarganya dan berharap blok baharu itu menjadi pusat kecemerlangan murid dalam bidang akademik, keagamaan dan sahsiah.

Turut hadir ialah Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Abang Ali, Dato Mohamad Yusnar Matalie dan Guru Besar SK Abang Ali, Abang Khadari Abang Bolhassan.