Kebajikan petugas media perlu diutamakan, liputan mereka bantu rakyat

KUCHING: Kebajikan petugas media perlu diberi perhatian sebagai pengiktirafan terhadap peranan mereka.

ADUN Tupong, Datuk Fazzrudin Abdul Rahman berkata, media menjadi saluran utama dalam menyampaikan dasar dan program kerajaan kepada masyarakat.

“Ini kerana, usaha wartawan memastikan maklumat sampai ke peringkat akar umbi wajar dihargai kerana mereka membantu rakyat memahami bantuan dan insentif yang tersedia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Pengurusan Sumber Lestari dan Sisa 2025 yang dibentangkan Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada persidangan DUN hari ini.

Fazzrudin menambah, banyak inisiatif kerajaan dapat dimanfaatkan rakyat hasil liputan konsisten para wartawan.

Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan turut mempertimbangkan kebajikan media ketika mengumumkan sebarang inisiatif untuk kakitangan awam kelak.